KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan dua nelayan warga Thailand kerana bergaduh di atas sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 7.8 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang, Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, hasil aduan ejen bot terbabit, pasukan bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk pengesahan.

"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati, sebuah bot pukat tunda kelas C tempatan bernombor pendaftaran PKFB 1988 sedang terapung dan pasukan bot ronda bertindak merapat untuk pemeriksaan lanjut.

"Anggota mendapati terdapat dua nelayan warga Thailand berumur 37 dan 39 tahun cedera.

"Salah seorang daripadanya cedera di kepala manakala seorang lagi melecur di bahagian perut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto Maritim Perak

Mohd Sharenliza berkata, kedua-duanya ditahan dan sebilah pisau pemotong yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata nelayan yang cedera dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kerian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan pergaduhan dan mendatangkan kecederaan.

Maritim Malaysia terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut dan sebarang insiden, orang ramai boleh melaporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.